MALAYSIA kini berada di ambang penentuan dalam tempoh 14 hari Perintah Kawalan Pergerakan, yang telah berkuat kuasa bermula 18 Mac lalu hingga hujung bulan ini.

Peranan rakyat boleh dikatakan amat penting dalam mendukung usaha kerajaan ini untuk membendung wabak Covid-19 daripada terus menular.

Keberhasilan langkah drastik ini terletak di bahu rakyat. Berjaya atau gagal, ia bergantung pada sikap rakyat dalam menuruti perintah yang ditetapkan bagi mengekang penularan wabak berjangkit tersebut.

Namun, jika kita lihat di dada akhbar bahkan di media sosial, jelas terpampang berita mengenai kedegilan segelintir rakyat yang masih tidak peka akan perintah itu pada dua hari pertama ia dikuatkuasakan.

Sikap sesetengah individu yang memandang enteng akan hal ini boleh menjadi sesuatu yang memakan diri, terutama jika mereka berterusan bersikap acuh tak acuh.

Perlu diingatkan bahawa tindakan yang sakan-akan mementingkan diri ini bukan sahaja akan menyusahkan diri sendiri, bahkan orang di sekeliling mereka.

Pada 30 Januari lalu, Peraturan Kesihatan Antarabangsa Jawatankuasa Kecemasan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan wabak novel koronavirus 2019 atau lebih dikenali Covid-19 sebagai kecemasan kesihatan awam bagi ikon antarabangsa.

Ia tersebar ke seluruh penjuru alam dengan jumlah kematian yang semakin meningkat saban hari sejak membuat kemunculan pertamanya di Wuhan, China.

Baru-baru ini, menjadi tular rintihan seorang warga Itali di media sosial yang berkongsi akan situasi yang berlaku di negaranya, akibat rakyat yang masih bersikap sambil lewa walaupun amaran demi amaran dikeluarkan oleh kerajaan.

Pada saat mereka menyedari keseriusan masalah yang dihadapi, jumlah kematian meningkat dengan mendadak hingga akhirnya Kerajaan Itali terpaksa mengisytiharkan Perintah Berkurung. Apabila difikirkan, biarpun perintah tersebut telah dikeluarkan, tetapi kerosakan telah berlaku malah masih lagi memberi kesan hingga kini.

Adakah ini yang kita mahukan untuk negara kita? Dan adakah kita perlu menunggu keadaan menjadi sudah tidak terkawal, baharu kita terhegeh-hegeh mengikuti arahan yang jelas ditetapkan demi kebaikan kita sendiri juga?

Sesungguhnya, inilah masa yang tepat bagi seluruh rakyat Malaysia untuk bekerjasama dalam meringankan beban Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang bertungkus-lumus melakukan saringan dan merawat mereka yang telah disahkan positif.

Para pengamal perubatan dan jururawat kini berada dalam zon ‘pertempuran’ kerana tugas mereka melibatkan soal hidup dan mati. Bukan mudah bagi mereka untuk berada dalam situasi yang terang-terang berisiko tinggi dijangkiti virus Covid-19 yang tiada penawar ini.

Bayangkan perasaan mereka apabila melihat kita di luar ini bersenang-lenang sambil menganggap Perintah Kawalan Pergerakan seolah-olah tempoh percutian sedangkan mereka terpaksa tinggal di hospital mengorbankan masa berharga dan berjauhan dengan orang tersayang.

Sejak petang Rabu lalu, tular beberapa keping gambar petugas kesihatan yang memegang sepanduk bertulis ‘I stay here for you, You stay home for us’. Kempen ini dicetuskan oleh KKM untuk mendidik dan memberikan kesedaran kepada orang awam akan kepentingan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan kerajaan, Isnin lalu.

Memetik akhbar Berita Harian bertarikh 18 Mac, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menyuarakan kebimbangan bahawa Malaysia berkemungkinan memasuki gelombang ketiga penularan wabak Covid-19, dan jika ini berlaku, ia dijangka lebih besar seperti tsunami jika orang ramai masih ingkar mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan.

Oleh sebab itu, beliau merayu supaya rakyat Malaysia lebih bertanggungjawab dan tidak keluar rumah sepanjang perintah itu berkuat kuasa. Ini kerana peluang untuk memutuskan rangkaian jangkitan Covid-19 adalah tipis.

Kini, tiba masanya rakyat membantu KKM dengan memainkan peranan masing-masing kerana setiap individu bertanggungjawab untuk mengambil segala langkah berjaga-jaga demi keselamatan diri dan ahli keluarga.