KUCHING: Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Datuk Julaihi Narawi menyeru agar masyarakat khususnya dari kawasan Dun Sebuyau menjaga keselamatan dan kesihatan ketika wabak Covid-19 semakin merebak di negeri ini.

Menurutnya, selain mengutamakan kebersihan dan kesihatan beliau merayu agar semua pihak mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan yang telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa. “Tujuan arahan ini dikeluarkan adalah untuk menghalang wabak ini merebak dengan luas dan untuk mengurangkan mangsa akibat wabak yang belum ada ubat atau vaksinnya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman sosial Facebook Sebuyau Di Hati Ku semalam. Beliau juga mengingatkan masyarakat agar duduk di rumah bersama-sama dengan keluarga yang tersayang bagi mengelak daripada dijangkiti wabak Covid-19.

“Keluar rumah sekiranya perlu sahaja khasnya untuk mendapatkan barangan keperluan atau ubat-ubatan. “Sekiranya saudara dan saudari ada atau mengetahui sesiapa sahaja yang mempunyai gejala jangkitan wabak ini nasihatkan dia membuat saringan atau lapor kepada pihak kesihatan,” tegasnya.

Adun Sebuyau itu juga mengucapkan penghargaan kepada warga kesihatan seperti doktor, jururawat, pemandu ambulans dan semua yang terlibat siang malam ketika berhadapan dengan pandemik itu. “Saya secara ikhlas ingin mengucapkan jutaan terima kasih dan penghargaan atas komitmen dan pengorbanan anda sekalian.

“Semoga anda semua dilindungi dah dirahmati oleh Allah SWT,” katanya. Dalam kenyataan yang sama, beliau sekali lagi merayu agar semua pihak mematuhi perintah Iarangan pergerakan ini.

“Duduklah di rumah bersama-sama ahli keluarga tersayang. “Marilah kita bersama-sama berdoa dan memohon perlindungan daripada Allah SWT agar kita semua sentiasa dilindungi-Nya,” ujar beliau.