SARIKEI: Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) menemui organ tubuh manusia dipercayai milik lelaki warga emas yang hilang ketika mencari umbut apong di Sungai Mekam sejak tiga hari lalu.

Buaya sepanjang 4.5 meter itu berjaya ditangkap dan dibunuh penduduk dalam operasi menjejaki haiwan terbabit pada 8.50 malam semalam.

Ketua Balai dan Penyelamat Sarikei, Mahmudin Narudin berkata, haiwan itu kemudiannya dibawa ke darat sebelum dibelah perutnya pada jam 10.53 pagi semalam.

“Beberapa organ manusia dijumpai dalam perut reptilia terbabit.

Antaranya, kaki kiri, sepasang tangan dan beberapa organ dalaman mangsa.

“Berikutan itu, operasi SAR yang dilancarkan sejak tiga hari lalu dihentikan serta-merta,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sementara itu, pasukan SAR menemui organ dalaman dan kaki kanan mangsa di tebing Sungai Mekam dalam operasi hari kedua kelmarin pada jarak satu kilometer (km) dari lubuk buaya dan tiga km dari Pusat Kawalan Operasi Bomba (PKOB).

“Jantung mangsa dijumpai timbul di permukaan air pada 11.29 pagi. Manakala, kaki kanannya pula ditemui kira-kira 20 minit kemudian.

“Kesemua organ dalaman dan kaki kanan mangsa diserahkan kepada polis dan hospital sebagai tindakan susulan,” katanya.

Dalam insiden Khamis lalu, mangsa dikenal pasti sebagai Lingai Rabong, 78, dilaporkan hilang selepas keluar mencari umput apong.

Bagaimanapun hanya barang miliknya ditemui penduduk di tebing sungai itu sebelum melihat mangsa diheret buaya ke tengah sungai.