SARIKEI: Peka dengan pengorbanan petugas di barisan hadapan dalam memerangi wabak Covid 19, Dato’ Sri Huang Tiong Sii menghulurkan sumbangan makanan dan minuman kepada pasukan keselamatan yang menjaga kawalan operasi di kawasan Sarikei.

Sumbangan itu disampaikan oleh wakilnya, Kapitan Ling Dien Yong kepada anggota yang bertugas di setiap stesen.

Ia merupakan tanda penghargaan pemimpin tersebut atas jasa dan pengorbanan anggota keselamatan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan.

Sementara itu dalam amanatnya, Huang merakamkan penghargaan atas sumbangan bakti mereka yang berada di barisan hadapan dalam membenteras penularan Covid 19.

“Saya mewakili seluruh warga N.45 Repok ingin mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang mengumumkan pelbagai pakej bantuan kepada rakyat yang terjejas akibat Covid 19.

“Sehubungan itu, saya menggesa rakyat agar berganding bahu bersama kerajaan memerangi wabak ini. Patuhilah arahan kerajaan agar pandemik bahaya ini tidak terus menular sehingga mengorbankan lebih banyak nyawa,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau turut menghulurkan sumbangan bagi membantu meringankan beban mangsa kebakaran di Sungai Sibau Sare malam tadi.

Wakil rakyat itu juga berharap mangsa yang kehilangan tempat tinggal dalam kejadian berkenaan agar tabah menghadapi dugaan berkenaan.