KUCHING: Penjaja akan menikmati diskaun sebanyak 50 peratus bagi sewaan gerai termasuk di pasar basah.

Menurut Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, bantuan itu diberikan dalam tempoh enam bulan sehingga September tahun ini.

“Bantuan ini dijangka memberi manfaat kepada lebih 10,000 penjaja yang menyewa di pasar basah dan gerai terutama di bawah Pihak Berkuasa Tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bagi mengumumkan Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang Covid-19 di Wisma Bapa Malaysia, di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Tan Sri James Jemut Masing.

Selain itu, Abang Johari berkata Kerajaan Sarawak akan memberikan pengecualian yuran permit dan lesen kepada peniaga, penjaja, peniaga pasar malam, penjaja Tamu serta bazar Ramadan.

Katanya pengecualian akan memberi manfaat kepada lebih dua juta pemegang permit dan lesen di bawah semua berkuasa tempatan di seluruh Sarawak.

“Ini bagi mengurangkan beban rakyat, yang memerlukan kerajaan membiayai sebanyak RM8.24 juta untuk tahun ini,” katanya.