KUCHING: Kerajaan Sarawak memberi diskaun ke atas bil bulanan elektrik dan air bagi meringankan beban rakyat negeri ini yang terjejas akibat Covid-19.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata bagi bil elektrik, diskaun sebanyak 5 hingga 25 peratus diberikan kepada pengguna domestik, komersial dan perindustrian.

Katanya tempoh diskaun itu adalah dari April hingga September tahun ini.

“Diskaun ini akan memberi manfaat kepada 686,847 pengguna di seluruh Sarawak,” katanya pada sidang media bagi mengumumkan Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang Covid-19 di Wisma Bapa Malaysia, di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Tan Sri James Jemut Masing.

Manakala bagi diskaun bil air, Abang Johari berkata sebanyak 10 hingga 25 peratus diberikan kepada pengguna domestik, komersial dan perindustrian bagi tempoh April hingga September tahun ini.

Katanya diskaun ini akan memberi manfaat kepada 568,247 pengguna di seluruh negeri.

“Kos purata untuk diskaun bil bulanan air adalah sekitar RM4.2 juta dan kos diskaun kumulatif adalah RM25.26 juta,” katanya.

Abang Johari berkata kos diskaun bagi kedua-dua bil utiliti itu adalah ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan Sarawak.