KUCHING: Diskaun 25 peratus akan diberikan bagi kadar taksiran tahunan RM400 ke atas, melibatkan kediaman, premis komersial dan perindustrian pada tahun ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata pendekatan itu akan memberi manfaat kepada lebih daripada 185,000 premis di seluruh Sarawak.

“Ini bagi mengurangkan beban rakyat dan pemilik perniagaan,” katanya sambil menambah kerajaan Sarawak membiayai sebanyak RM74.58 juta bagi menyediakan bantuan berkenaan.

Beliau berkata demikian pada sidang media bagi mengumumkan Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang Covid-19 di Wisma Bapa Malaysia, di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Tan Sri James Jemut Masing.

Selain itu, Abang Johari berkata diskaun sebanyak 30 peratus turut diberikan untuk sewa tanah kepada semua pengguna tanah bagi tahun ini.

Katanya langkah yang menelan belanja RM11.84 juta ini akan memanfaatkan 52,403 komersial, perindustrian, kediaman, ladang berskala besar dan kemudahan awam yang lain.

Pada masa sama, beliau berkata kerajaan turut memutuskan untuk menangguhkan pembayaran premium tanah pada tahun ini, sekali gus memanfaatkan 1,721 pihak berkepentingan di seluruh Sarawak termasuk pertanian, kediaman, komersial, perindustrian serta institusi swasta dan awam.

Sementara sebagai langkah untuk meredakan aliran tunai Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) serta mengurangkan beban kewangan mereka, Abang Johari berkata Kerajaan Sarawak telah memutuskan untuk menangguhkan pembayaran balik pinjaman selama sembilan bulan berkuat kuasa dari April ini.

“Ini akan memberi faedah kepada 144 peminjam Skim Pinjaman Industri Kecil dan Sederhana (SPIKS).

“Ini akan meningkatkan aliran tunai PKS berjumlah RM1.3 juta,” katanya.

Beliau juga berkata kerajaan Sarawak akan menawarkan tambahan RM20 juta kepada PKS untuk mengembangkan dan mengekalkan perniagaan mereka, di samping dana kredit mikro berjumlah RM30 juta yang sedia ada.