KUCHING: Kerajaan Sarawak akan memberi topeng muka secara percuma kepada penduduk negeri ini, sebagai langkah keselamatan bagi mengelak penularan Covid-19.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata pesanan sebanyak dua juta keping topeng muka sudah dibuat dari China, yang menelan kos kira-kira RM3 juta.

“Pengagihan topeng muka ini akan dikendalikan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, mungkin menerusi Pejabat Residen atau Pejabat Daerah.

“Keutamaan adalah untuk kawasan ‘hotspot’ seperti Kuching, Serian, Sibu dan Betong,” katanya pada sidang media bagi mengumumkan Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang Covid-19 di Wisma Bapa Malaysia, di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Tan Sri James Jemut Masing.

Selain itu, Abang Johari berkata kerajaan Sarawak juga memperuntukkan sebanyak RM10 juta untuk membantu menyediakan keperluan hospital yang segera dan Peralatan Perlindungan Diri (PPE) kepada barisan hadapan yang menguji, mendiagnos dan merawat pesakit berisiko Covid-19.

Malah, katanya bantuan makanan juga disediakan untuk semua barisan hadapan yang bertugas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), yang menelan belanja sebanyak RM1 juta.

Sementara, Abang Johari berkata diskaun sebanyak 50 peratus diberikan bagi bayaran sewa rumah di bawah Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) bagi tempoh enam bulan sehingga September 2020.

“Bantuan ini dijangka memanfaatkan lebih 3,200 pelanggan yang menyewa rumah HDC di seluruh Sarawak,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata kerajaan turut memberi pengecualian untuk bayaran lesen hotel bagi 17,289 bilik hotel termasuk rumah penginapan di seluruh Sarawak bagi tahun ini.

Katanya insentif ini akan memanfaatkan lebih 340 pengusaha hotel dan rumah penginapan, melibatkan kos RM386,630.