KUCHING: Masyarakat ditegaskan untuk mengambil langkah berjaga-jaga terhadap penularan laman web tidak rasmi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang terdapat di media sosial.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Sarawak Superintenden Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, terdapat beberapa pautan berkaitan KWSP mula tersebar pada beberapa media sosial dipercayai bukan laman sebenar daripada agensi berkenaan.

Menurutnya, kegiatan tersebut dilihat mula aktif selang beberapa jam selepas Perdana Menteri Negara Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bantuan pengeluaran wang terhadap KWSP boleh dilakukan.

“Sekiranya pautan tersebut bukan daripada agensi yang berkenaan (KWSP), jangan cuba-cuba untuk masuk dan menyerahkan maklumat identiti diri sesuka hati.

“Sebaliknya orang awam perlu meneliti sepenuhnya pautan yang dimasuki untuk mengelakkan diri daripada menjadi mangsa tipu,” tegasnya ketika dihubungi pemberita, hari ini.

Susulan daripada itu, Kamal turut menggesa agar masyarakat untuk berhati-hati serta meminta pengesahan daripada jabatan berkaitan sebelum membuat tindakan susulan pengisian maklumat.

Dedahnya, antara punca utama masyarakat ditipu adalah kerana ada dalam kalangan mereka (mangsa) terlalu mudah memberikan maklumat kepada pautan laman web yang tidak rasmi.

“Kebanyakan laman web sebegini (tidak rasmi) bertujuan untuk meminta butiran peribadi daripada mangsa,” tambahnya.

Sementara itu, ujarnya, orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan penyebaran laman web tidak rasmi diminta untuk melaporkan kepada pihaknya atau mana-mana balai polis yang berdekatan.

Masyarakat yang mempunyai kemusykilan atau berkemungkinan telah ditipu boleh menyalurkan maklumat melalui Whatsapp atau SMS ke Commercial Crime Investigation Department(CCID)Infoline di talian 013-2111222.