KUCHING: Kerajaan Sarawak akan memberi bayaran sebanyak RM250 sebulan bagi tempoh enam bulan kepada seramai 430,000 orang rakyat negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata Bantuan Khas Sarawakku Sayang itu adalah untuk meringankan beban golongan berpendapatan rendah, kumpulan B40 dalam menghadapi situasi Covid-19.

“Bantuan ini akan diagihkan menerusi akaun penerima,” katanya pada sidang media bagi mengumumkan Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang Covid-19 di Wisma Bapa Malaysia, di sini hari ini.

Menurut beliau, kerajaan membiayai sebanyak RM645 juta bagi bantuan berkenaan.

Selain itu, Abang Johari berkata kerajaan Sarawak turut menyediakan insentif bulanan khas selama enam bulan untuk ‘barisan hadapan’ yang secara langsung terdedah kepada risiko Covid-19 semasa menjalankan tugas dalam menangani wabak di Sarawak.

Katanya sebanyak RM300 akan diberikan kepada seramai 6,232 doktor, jururawat dan kakitangan perubatan yang bertugas di hospital dan klinik di seluruh Sarawak.

Manakala, katanya RM200 diberikan untuk seramai 535 pegawai Imigresen, 3,395 anggota dan pegawai polis serta pegawai Bilik Gerakan Negeri, 590 pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) termasuk 590 anggota dan pegawai RELA.

Katanya kerajaan Sarawak membiayai sebanyak RM17.35 juta untuk bantuan ini.