PUTRAJAYA: Kerajaan akan menyalurkan peruntukan tambahan berjumlah RM600 juta kepada Kementerian Kesihatan bagi menyokong usaha menangani COVID-19 dan membiayai pengambilan kakitangan baharu secara kontrak, terutamanya jururawat.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata peruntukan RM500 juta akan digunakan untuk membiayai pembelian peralatan perubatan seperti ventilator dan peralatan Unit Rawatan Rapi (ICU), peralatan perlindungan diri (PPE) tambahan bagi kakitangan perkhidmatan perubatan awam serta keperluan makmal untuk saringan COVID-19.

“Untuk menyegerakan pembelian barangan kritikal, kerajaan telah meluluskan tatacara perolehan secara darurat,” katanya pada sidang media di sini, hari ini yang turut disiarkan secara langsung menerusi televisyen dan radio, serta media sosial.

Muhyiddin berkata, peruntukan RM100 juta disediakan kepada Kementerian Kesihatan untuk melantik 2,000 kakitangan baharu secara kontrak, terutamanya jururawat.

“Ramai jururawat dan kakitangan hospital yang amat keletihan pada masa ini kerana mereka terpaksa bekerja siang dan malam untuk membuat saringan kes COVID-19 dan merawat mereka yang disahkan positif.

“Saya berharap pengambilan kakitangan baharu ini dapat dibuat dengan segera supaya semua hospital di negara kita mempunyai kakitangan yang mencukupi untuk menangani penularan wabak COVID-19”, katanya

Wabak COVID-19 bermula di China pada Disember tahun lepas kini melanda dunia dengan Malaysia turut tidak terkecuali dengan catatan kes pertama dilaporkan pada 25 Jan lepas.

Setakat tengah hari ini, 11 kematian dicatat di Malaysia dengan lebih 1,300 kes dilaporkan positif COVID-19. – Bernama