SARIKEI: Sikap perihatin Ahli Parlimen P.206 Tanjong Manis, Ir Yusuf Abd Wahab terserlah apabila beliau menghulurkan sumbangan kepada petugas barisan hadapan memerangi wabak Covid 19.

Sumbangan makanan dan minuman disampaikan oleh pegawai pusat khidmat Parlimen Tanjong Manis kepada petugas keselamatan di Klinik Kesihatan Belawai, pos Kawalan Rela Belawai dan Pos Kawalan Polis Tanjung Manis.

Turut menerima sumbangan anggota Polis yang bertugas IPD Meradong, petugas-petugas Klinik Kesihatan Meradong dan petugas sekatan Jalan Bintangor-Sarikei.

Pada masa yang sama, beliau turut menghulurkan bantuan kepada petugas di Hospital Sibu dan Sarikei sejak beberapa hari lalu.

Ia merupakan sebahagian tanda penghargaan pemimpin itu terhadap jasa dan pengorbanan kakitangan terbabit.

“Terima kasih atas kerjasama semua petugas-petugas barisan hadapan ini yang berkhidmat dan bekerja keras untuk menangani isu Covid.

“Saya dan seluruh rakyat khususnya di Parlimen Tanjong Manis amat menghargai penat lelah mereka,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa masyarakat agar mematuhi arahan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).