HARI ini masuk hari ketujuh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara. Berbanding pada hari pertama dan kedua, sekarang ini menampakkan semakin ramai masyarakat kita akur terhadap arahan pihak berkuasa.

Lebih-lebih lagi dengan bantuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang turun padang mulai tengah hari semalam bagi membantu PDRM memantau situasi dan keadaan di setiap penjuru seluruh pelosok negeri, terutama di kawasan tompok panas.

Angka kematian dan jumlah kes yang semakin meningkat juga membantu memberi keinsafan dan kesedaran kepada khalayak masyarakat untuk duduk diam di rumah masing-masing. Arahan ini sebenarnya tidaklah sukar untuk dipatuhi, lebih-lebih lagi bagi mereka yang tidak gemar keluar rumah.

Tetapi ia menimbulkan keresahan bagi mereka yang suka keluar rumah, sama ada pada sebelah pagi atau malam. Bagi mereka yang ketagih kopi O panas atau teh tarik dan roti canai kosong cecah kuah kacang dal, tempoh dua minggu ‘berkurung’ cukup menyeksakan.

Malah ia juga agak menyukarkan mereka yang mempunyai keluarga ramai. Bayangkan tiga hingga empat keluarga tinggal sebumbung, apatah lagi jika rumah tersebut agak kecil, yang biasanya hanya dijadikan sebagai tempat untuk tidur, mandi dan makan.

Namun kita tiada pilihan. Duduk diam di dalam rumah merupakan salah satu strategi terbaik untuk mengurangkan jangkitan yang begitu mudah merebak ini. Inilah pengorbanan yang mesti kita lakukan sekarang ini.

Lagi pula kita bukannya diarahkan untuk melakukan sesuatu yang sukar, seperti mengangkat besi atau simen, tetapi cuma diarah untuk duduk diam di dalam rumah sendiri, bukannya rumah orang lain. Kita seharusnya bersyukur, kerana masih ada orang di luar sana yang berjuang mempertaruh nyawa sendiri setiap saat, demi nyawa orang.

Misalnya doktor, jururawat atau staf perubatan yang bekerja lebih 12 jam setiap hari, siang, malam… malah hingga dinihari. Oleh itu, semua kita perlu bertanggungjawab, kerana virus ini melibatkan semua pihak tanpa mengira pangkat dan darjat.

Di samping itu, pasar raya, terutama yang menjual produk makanan juga perlu peka dan bertanggungjawab. Misalnya mengehadkan jumlah pelanggan untuk sesuatu masa (mengikut giliran).

Contohnya, kurang daripada 20 pelanggan untuk sekali masuk. Ini kerana masih ada pasar raya di Kuching yang kelihatan begitu ramai pelanggan (melebihi 50 orang) dalam sesuatu masa. Oleh itu, pihak berkuasa juga perlu memasuki pasar raya untuk meninjau keadaan, kerana virus ini mampu menyerang hanya dalam tempoh sesaat.

Di samping itu, pasar basah juga memerlukan pemantauan rapi dari semasa ke semasa kerana ia juga merupakan tempat tumpuan ramai terutama pada pagi dan petang. Pastikan tiada sekumpulan besar pelanggan berada di tempat tersebut.

Oleh itu, kerjasama semua pihak amatlah penting. Sekarang ini bukanlah masa untuk menuding jari kepada sesiapa, tentang punca ia merebak, tetapi kita hendaklah bersama-sama mematuhi segala arahan daripada pihak berkuasa, sama ada daripada kerajaan atau jabatan kesihatan.

Kita juga perlu mencari alternatif lain untuk tampil membantu menangani virus berbahaya ini, sekali gus membanterasnya ke peringkat akar umbi. Segala usaha yang telah kita kerahkan hendaklah diiringi doa dan tawakal.

Bertindaklah sekarang… jangan menunggu masa “sudah terhantuk baru tengadah”. Jadikan Itali sebagai iktibar, negara paling ramai mangsa korban, mengatasi China, lubuk Covid-19. Sehingga berita ini ditulis, 4,825 warga Itali maut, manakala 2,857 lagi dalam keadaan kritikal.

Ini bermakna, jumlah mangsa korban di Itali akan terus melonjak dalam masa terdekat. Sekali lagi kita bersyukur, tidak seperti Itali. Oleh itu gandakan usaha, berganding bahu memerangi wabak ini.