KOTA BHARU:  Prihatin dengan keselamatan petugas kesihatan yang dikhuatiri berdepan kekurangan bekalan peralatan alat pelindung diri (PPE), beberapa pihak telah mengambil inisiatif sendiri untuk mencipta dan menghasilkan pelindung muka bagi membantu petugas barisan hadapan dalam menangani wabak COVID-19 yang sedang menular di negara ini.

Antaranya Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) Kelantan, yang berganding bahu untuk mencipta sendiri pelindung muka untuk diagihkan secara percuma kepada barisan hadapan di fasiliti kesihatan dan hospital kerajaan serta swasta di negeri ini.

“Kebanyakan bekalan pelindung muka di hospital dan fasiliti kesihatan semakin susut, malah ia mungkin mengambil masa yang lama untuk ditempah dan memakan kos yang tinggi, jadi pihak kami merasa terpanggil untuk mencipta sendiri pelindung muka ini secara DIY (Dibuat Individu dengan Yakin) selain ia dapat menjimatkan masa dan juga kos,” menurut Pengerusinya Dr Tengku Ahmad Damitri Al Astani Tengku Din.

Bercakap kepada Bernama semalam, Dr Tengku Ahmad Damitri berkata, gerak kerja untuk mencipta pelindung muka berkenaan bermula tiga hari lepas dengan penglibatan sekitar 15 orang termasuk ahli PAPISMA dan juga masyarakat setempat yang sukarela untuk membantu pihaknya.

“Bekalan pelindung muka ini akan diagihkan secara berperingkat kepada hospital dan fasiliti kesihatan di negeri ini termasuk Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Hospital Machang, Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) Kuala Krai dan juga klinik kesihatan dan klinik swasta di negeri ini,” katanya.

Sejak beberapa hari lepas tular kebimbangan petugas kesihatan tentang tahap kesihatan mereka ekoran kekurangan PPE untuk digunakan bagi mengendalikan kes COVID-19.

Selain itu, carian di laman sosial Facebook mendapati inisiatif serupa turut diambil Komuniti Percetakan 3D Malaysia untuk COVID-19 yang berusaha mengumpulkan netizen bagi bersama-sama membantu mencipta pelindung muka melalui teknologi percetakan tiga dimensi (3D).

Komuniti yang ditubuhkan sejak 22 Mac lepas itu turut menyumbang pelbagai idea dan prototaip bagi rekabentuk pelindung muka yang dihasilkan sebelum proses percetakan akhir.

Seorang ahli komuniti itu, Nurfaiz Foat ketika dihubungi berkata kumpulan pertama pelindung muka yang dihasilkan beliau telah dihantar untuk ujian oleh doktor pakar daripada pelbagai jabatan dan hospital.

“Isteri saya seorang MO (pegawai perubatan) di Hospital Serdang. Jadi risiko jangkitan lebih tinggi. Bertitik tolak daripada itu saya gerakkan inisiatif ini. Saya nak cetuskan idea bagi semua orang awam yang mereka juga boleh membantu dalam waktu-waktu genting sebegini,” kata Nurfaiz yang merupakan pereka produk di sebuah syarikat teknologi tempatan.– BERNAMA