KUCHING: Kakitangan kesihatan bukan satu-satunya wira atau tentera dalam memerangi wabak Covid-19, kata Dr. Rafeeq Ruslan. Doktor dari National Health Service (NHS), United Kingdom itu berkata, tugas memerangi wabak tersebut merupakan tanggungjawab semua pihak termasuk rakyat Sarawak.

“Kami bukan satu-satunya wira dan tentera yang memerangi virus ini, anda semua juga adalah wira dan tentera dalam perjuangan ini termasuk rakan-rakan di Sarawak,” katanya menerusi satu tulisan yang dikongsikan di laman sosial Facebook baru-baru ini.

Tambahnya, setiap orang mempunyai peranan masing-masing dalam situasi pandemik itu. “Bukan sahaja kakitangan kesihatan tetapi semua orang perlu memainkan peranan dalam mengurangkan beban kami dalam penjagaan kesihatan. “Percayalah apa yang saya katakan ini. Ia akan memberikan hasil yang baik untuk semua pihak,” tegasnya.

Beliau menjelaskan, pandemik itu memerlukan kerjasama global dan ketika ini bukan masa untuk menunding jari dengan menyalahkan antara satu sama lain. “Saya ulangi, setiap individu di muka bumi ini mempunyai peranan penting, bukan hanya pekerja kesihatan,” tegasnya.

Dr. Rafeeq menyatakan, beliau bukan mencari pujian atau mengharapkan ucapan terima kasih yang tiada berpenghujung hanya kerana beliau merupakan seorang pekerja barisan hadapan. “Sebab utama saya memuat naik tulisan kerana saya percaya bahawa saya mempunyai tanggungjawab untuk membantu, melindungi, memaklumkan dan berkhidmat kepada orang awam dengan sebaik mungkin melalui kemampuan saya. “

Sebenarnya kita semua perlu berbuat demikian! Terutama kepada mereka yang mengenali saya. Dan, saya akan melakukannya dengan apa cara sekalipun, memandangkan saya berada di sisi lain dunia, tetapi saya juga bimbang tentang keluarga, rakan, orang tersayang dan semua orang yang balik ke rumah,” jelasya lagi.

Beliau juga menyeru semua pihak menjalankan peranan masing-masing termasuk membantu, berdiri di sisi dan mendidik antara satu sama lain. Untuk rekod, Dr. Rafeeq berusia 33 tahun dan berasal dari Kuching, telah bertugas di NHS, United Kingdom kira-kira setahun.