KUCHING: Polis Sarawak tidak akan menggunakan khidmat nasihat lagi sebaliknya bertindak menangkap serta merta mana-mana individu yang keluar tanpa tujuan selepas jam 7 petang.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail menegaskan pihaknya akan bertindak menahan berbanding memberi nasihat kepada individu ingkar terhadap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikeluarkan.

Menurutnya, tindakan agresif tersebut dilakukan susulan daripada arahan Kerajaan Negeri yang meminta supaya semua premis ditutup pada 7 malam.

“Had untuk kita berlembut sudah berakhir berikutan tindakan memberi nasihat sering dilakukan sebelum ini.

“Jadi sesiapa yang keluar tanpa sebab selepas 7 malam pihak polis tidak akan berkompromi untuk menangkap mereka,” jelasnya ketika dihubungi sebentar tadi.

Beliau memberitahu, segelintir daripada orang awam tidak mempunyai sebab untuk keluar daripada kediaman kecuali kepada mereka yang mempunyai kelulusan untuk pergi bekerja atau yang mendapat surat pengecualian daripada majikan untuk keluar pergi bekerja pada waktu malam.