KUCHING: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar meminta jumlah anggota polis dan tentera di Sarawak ditingkatkan bagi mengekang rakyat asing masuk ke negeri ini semasa penularan wabak Covid-19.

Katanya, negeri ini mempunyai sempadan yang panjang hampir 1,100 kilometer dengan Kalimantan, Indonesia. “Penduduk di kedua-dua negara boleh keluar masuk melalui banyak jalan tikus. Keadaan wabak di sana tidak pasti walaupun negara itu mengumumkan darurat,” katanya di sini, semalam.

Semasa Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Covid-19 dipengerusikan Menteri Kanan Datuk Seri Fadillah Yusof semalam, Wan Junaidi berkata, kerajaan mendapati banyak mangsa negara ini didapati bersentuhan dengan individu dari Indonesia.

Terdahulu, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengumumkan kerajaan menutup sempadan negeri dengan serta-merta manakala Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Brunei dan Kalimantan akan beroperasi pada waktu terhad semasa Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan.

Mengulas mengenainya, Wan Junaidi juga membangkitkan isu sempadan sejauh 700 kilometer antara Sabah dengan Kalimantan Utara dan memohon supaya kedua-dua pasukan polis dan tentera perlu memantau sempadan dengan ketat.

Beliau berkata, tindakan itu untuk memastikan rakyat Malaysia yang masuk ke Sabah dan Sarawak dari Indonesia menjalani proses pemeriksaan kesihatan dan dikuarantin.