SEREMBAN: Semua rakyat termasuk pemain industri perlu meletakkan keyakinan tinggi terhadap tindakan yang diambil kerajaan dalam menangani penularan wabak COVID-19 di negara ini.

Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Prof Madya Dr Fuadah Johari berkata Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967, bukanlah suatu yang harus diremehkan pelbagai pihak.

Meskipun langkah berkenaan menjejaskan operasi perniagaan dan pendapatan pemain industri termasuk perusahaan kecil dan sederhana (SME), ia bukanlah sesuatu yang harus dibimbangkan memandangkan kerajaan telah pun mengumumkan pakej Rangsangan Ekonomi 2020 yang menggariskan tiga strategi, pada 27 Feb lepas.

“Tiga strategi itu ialah untuk menangani impak COVID-19, memangkin pertumbuhan berteraskan rakyat dan menggalakkan pelaburan berkualiti. Ini bermaksud PKP COVID-19 ini adalah sangat perlu untuk dilaksanakan,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Susulan daripada langkah serius berkenaan untuk memutuskan rantaian COVID-19, pelbagai pihak termasuk institusi kewangan telah mula menawarkan pelbagai kemudahan kepada pelanggan seperti penstukturan dan penjadualan semula pinjaman perniagaan yang bertujuan mengurangkan beban yang ditanggung.

Bank Rakyat, SME Bank dan TEKUN Nasional telah mengumumkan penangguhan pembayaran pinjaman selama enam bulan pada 16 Mac yang lepas, diikuti Bank Islam yang menawarkan moratorium kepada pelanggan yang terjejas dengan COVID-19.

“Ini disusuli dengan bank-bank lain juga. Saya percaya kesemua bank akan juga melaksanakan sokongan ini selaras dengan pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan kerajaan melalui Bank Negara Malaysia (BNM) untuk memastikan semua institusi kewangan menyediakan bantuan sewajarnya kepada syarikat yang benar-benar terjejas,” katanya.

Dengan langkah-langkah proaktif yang diambil oleh kerajaan, rakyat tidak seharusnya panik dan apa yang perlu dilaksanakan adalah akur dan melakukan aktiviti yang berfaedah di rumah.

“Gunakanlah PKP ini dengan bijaksana untuk kita bersama-sama berperanan mencegah penyakit COVID-19 ini dengan baik dan sudah tentu, dengan penuh pengharapan agar kita berupaya meraikan semula ibadat secara beramai-ramai pada bulan Ramadan yang akan datang,” katanya.

Fuadah berkata sekiranya semua pihak bekerjasama bagi memastikan langkah berkenaan berjaya, beliau percaya semua industri termasuk pelancongan domestik akan boleh dibangunkan semula pada masa akan datang.

Sementara itu, Ketua Pusat Pengajian Fakulti Pengurusan Perniagaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Rembau, Noor Azillah Mohamad Ali mencadangkan supaya pemain industri pelancongan mengadakan kerjasama dengan pengusaha lain bagi menambah nilai pakej mereka selepas COVID-19 berakhir.

“Negeri Sembilan mempunyai 96 produk pelancongan seperti agropelancongan, sukan dan rekreasi, serta budaya dan warisan yang boleh dipadankan bagi membentuk pakej promosi yang mampu melonjakkan produk pelancongan.

“Bagi memastikan promosi lebih mantap, berkemungkinan hotel di Port Dickson boleh menawarkan pakej penginapan berserta aktiviti sukan dan rekreasi yang ada di Seremban seperti di X-Park, Sendayan,” katanya.

Sehingga semalam, 1,518 kes positif COVID-19 dengan 14 kematian direkodkan. Negeri Sembilan merekodkan 94 kes COVID-19.