SARIKEI: Majlis Daerah Sarikei (MDS) melaksanakan sebanyak 393 pemeriksaan ke atas pelbagai premis sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan bermula 18 Mac lalu.

Pengerusi Majlis Daerah Sarikei (MDS), Wong Zee Yeng berkata, ia merupakan langkah proaktif MDS dalam usaha mengekang penularan wabak Covid 19 selain mematuhi arahan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak.

Katanya, pemeriksaan dilakukan ke atas 273 premis perniagaan, 11 pusat hiburan dan 109 penjaja pasar awam serta medan selera.

“Setakat ini, kita belum mengeluarkan amaran bertulis, sitaan mahupun kompaun. Bagaimanapun, sebanyak tujuh amaran lisan dikeluarkan dalam tempoh berkenaan,” katanya kepada Suara Sarawak.

Beliau menegaskan, MDS mengambil pendekatan lebih serius dengan kerap melakukan pemantuan bagi memastikan peniaga mengutamakan kebersihan selain mematuhi arahan yang dikeluarkan.

Sehubungan itu katanya, orang ramai turut memainkan peranan penting dan perlu berganding bahu untuk membendung penularan wabak Covid-19.

Malah katanya, semua pihak harus memberikan kerjasama baik bagi membantu kerajaan membenteras rangkaian penularan wabak berkenaan.

“Isu Covid-19 bukan soal main-main dan wabak ini boleh menjangkiti sesiapa sahaja tanpa mengenal bangsa, kaum atau pangkat.

“Sehubungan itu, saya juga meminta kerjasama orang ramai menyalurkan sebarang maklumat kepada MDS jika ada peniaga yang masih berdegil,” tambahnya.