KUCHING: Kerajaan Sarawak memberikan diskaun ke atas beberapa komitmen bagi meringankan beban penduduk negeri ini yang terjejas akibat Covid-19.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, antaranya diskaun 5 hingga 25 peratus untuk bil elektrik kepada pengguna domestik, komersial dan perindustrian bagi tempoh dari April hingga September tahun ini yang memanfaatkan 686,847 pengguna di seluruh Sarawak.

Manakala bagi diskaun bil air Abang Johari berkata, sebanyak 10 hingga 25 peratus diberikan kepada pengguna domestik, komersial dan perindustrian bagi tempoh April hingga September tahun ini yang akan memberi manfaat kepada 568,247 pengguna di seluruh negeri.

“Kos purata untuk diskaun bil bulanan air sekitar RM4.2 juta dan kos diskaun kumulatif adalah RM25.26 juta,” katanya sambil menambah, kos diskaun bagi kedua-dua bil utiliti itu ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak. Beliau berkata demikian pada sidang media ketika mengumumkan Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang Covid-19 di Wisma Bapa Malaysia baru-baru ini.

Abang Johari berkata, diskaun sewaan sebanyak 50 peratus diberikan kepada penjaja di gerai termasuk di pasar basah bagi tempoh enam bulan sehingga September tahun ini, sekali gus memberi manfaat kepada lebih 10,000 penjaja yang menyewa di pasar basah dan gerai terutama di bawah kendalian pihak berkuasa tempatan (PBT).

Beliau berkata, pengecualian yuran permit dan lesen diberikan kepada peniaga, penjaja, peniaga pasar malam, penjaja pasar tamu serta bazar Ramadan. “Pembiayaan menelan kos se-banyak RM8.24 juta ini dan akan memberi manfaat kepada lebih dua juta pemegang permit dan lesen di bawah semua PBT di seluruh negeri,” tambahnya lagi.

Abang Johari menambah, diskaun 25 peratus turut diberikan bagi kadar taksiran tahunan RM400 ke atas melibatkan kediaman, premis komersial dan perindustrian pada tahun ini. Ia menurut Ketua Menteri, melibatkan pembiayaan sebanyak RM74.58 juta dan memberi manfaat kepada lebih 185,000 premis di seluruh Sarawak.

Beliau berkata, diskaun sebanyak 30 peratus juga diberikan untuk sewa tanah bagi tahun ini yang menelan belanja sebanyak RM11.84 juta. “Ini akan memanfaatkan 52,403 komersial, perindustrian, kediaman, ladang berskala besar dan kemudahan awam yang lain.

“Pada masa sama, kerajaan memutuskan menangguhkan pembayaran premium tanah pada tahun ini, sekali gus memanfaatkan 1,721 pihak berkepentingan di seluruh Sarawak termasuk pertanian, kediaman, komersial, perindustrian serta institusi swasta dan awam,” katanya.

Sementara sebagai langkah untuk meredakan aliran tunai Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) serta mengurangkan beban kewangan, Kerajaan Sarawak memutuskan untuk menangguhkan pembayaran balik pinjaman selama sembilan bulan berkuat kuasa dari April ini.

“Ini akan memberi faedah kepada 144 peminjam Skim Pinjaman Industri Kecil dan Sederhana (SPIKS) serta akan meningkatkan aliran tunai PKS berjumlah RM1.3 juta,” katanya. Beliau menambah, Kerajaan Sarawak menawarkan tambahan RM20 juta kepada PKS untuk mengembangkan dan mengekalkan perniagaan mereka, di samping dana kredit mikro berjumlah RM30 juta yang sedia ada.