JAKARTA: Presiden Indonesia, Joko ‘Jokowi’ Widodo, berkata republik itu berjaya memperoleh bekalan chloroquine, iaitu sejenis ubat antimalaria yang mungkin dapat merawat Covid-19.

Memetik Jakarta Post, Jokowi berkata syarikat farmaseutikal milik kerajaan, PT Kimia Farma menghasilkan ubat yang diekstrak daripada pokok conchona, yang banyak terdapat di negara itu.

“Tiada ubat atau antivirus untuk Covid-19, tetapi berdasarkan pengalaman dari negara lain, chloroquine dapat digunakan untuk membantu pesakit pulih daripada penyakit ini,” katanya ketika melawat Wisma Atlet Kemayoran.

Jokowi berkata, ubat itu tidak akan dijual di farmasi kerana memerlukan preskripsi doktor, namun kerajaannya mempunyai bekalan tiga juta pil chloroquine yang dapat diperoleh di hospital.

Chloroquine, yang lazimnya diguna bagi merawat malaria, disyorkan China yang mendakwa ia berkesan bagi merawat Covid-19 manakala Amerika Syarikat menguji kesesuaian chloroquine.

Ubat berkenaan masih menjalani ujian klinikal di Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), dengan ubat selesema favipiravir, juga dikenali sebagai Avigan; gabungan dua ubat HIV, lopinavir dan ritonavir serta ubat Ebola, remdesivir.

Seorang profesor di Jabatan Farmakologi dan Farmasi Klinikal, Padjadjaran University, Keri Lestari berkata, Indonesia mengimport chloroquine fosfat sebagai bahan mentah bagi ubat antimalaria.

“Bagaimanapun, ubat itu dapat dihasilkan menggunakan bahan mentah tempatan iaitu quinine sulfat tetapi lebih banyak kajian perlu dilakukan untuk menentukan keberkesanannya.

“Kami mempunyai makmal di Padjadjaran University, Airlangga University dan IPB University untuk menjalankan ujian yang diperlukan,” katanya. – AFP