KUCHING: Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan beberapa insentif khas kepada rakyat tempatan dan petugas barisan hadapan di negeri ini, susulan kesan penularan wabak Covid-19 yang melanda negara.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, usaha ini jelas menunjukkan tahap keprihatinan yang tinggi oleh pemimpin negeri dalam menjaga kebajikan rakyat.

“Kita sangat berterima kasih atas peruntukan yang diberi termasuk kepada 430,000 penerima yang terdiri daripada golongan kurang berkemampuan dan kumpulan B40.

“Difahamkan, penerima akan diberi bantuan bulanan berjumlah RM250 selama enam bulan yang menelan kos sejumlah RM640 juta,” katanya menerusi akaun media sosial miliknya, semalam.

Pada Isnin, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menjelaskan beberapa peruntukan akan diagihkan kepada golongan berpendapatan rendah dan kumpulan B40 di negeri ini menerusi Bantuan Khas Sarawakku Sayang pada Isnin.

Tindakan tersebut adalah berikutan situasi sukar yang dihadapi oleh masyarakat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan oleh Kerajaan Persekutuan sejak 18 Mac lalu.

Peruntukan yang diberi akan terus dimasukkan ke dalam akaun penerima berdasarkan senarai nama penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) dan penerima bantuan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Diharapkan, bantuan yang diberi akan dapat membantu dan meringankan beban mereka yang berkaitan dalam meneruskan kelangsungan hidup dalam tempoh yang ditetapkan.