KUCHING: Mesej tular di media sosial yang memberitahu Wisma Satok sebagai zon merah Covid-19 adalah palsu, jelas jurucakap Angkatan Pertahanan Awam (APM), Kapten (PA) Mohd Johari Mohd Taufik.

“Maybank di Wisma Satok ditutup sehari (semalam) ekoran operasi nyahkuman dilakukan.

“Mengenai Bank Simpanan Nasional (BSN) di Satok pula, ia beroperasi seperti biasa hari ini (semalam),” katanya kepada Suara Sarawak.

Justeru, Johari menasihatkan orang ramai untuk tidak membuat spekulasi yang boleh mencetuskan keadaan panik.

“Jangan berlumba-lumba untuk menjadi hero memuat naik sebarang spekulasi hanya ingin mendapatkan banyak “like”.

“Sebagai masyarakat yang bertanggungjawab, sila semak fakta dan sumber terlebih dahulu,” tegasnya.

Terdahulu, tular di media sosial oleh pihak yang tidak bertanggungjawab memberitahu Wisma Satok dan termasuk kawasan bank disenarai sebagai zon merah Covid-19.

Sebelum ini, tular di WhatApps yang memberitahu, salah seorang kakitangan Maybank Cawangan Kota Sentosa positif Covid-19.

Bagaimanapun, ia segera dinafikan oleh Pengurus Maybank Cawangan Kota Sentosa, Liew Sui Ha.

Berikutan itu, orang ramai diminta berhati-hati dalam menyebarkan berita palsu kerana boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

PDRM dan SKMM memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap sebarang pihak yang menyebarkan berita palsu mengenai Covid-19.

Malah, pendakwaan boleh dibuat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya.