BAU: Semua pemilik ladang kelapa sawit di Sarawak, dikehendaki menyerahkan senarai nama serta jumlah pekerja asing, kepada pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN).

Timbalan Ketua Menteri Sarawak yang juga Pengerusi JPBN Datuk Amar Douglas Uggah Embas hari ini berkata, tindakan ini bertujuan untuk memantau sejarah perjalanan pekerja asing di ladang-ladang kelapa sawit, bagi mengekang penularan jangkitan COVID-19.

“Sekiranya mereka mempunyai sejarah perjalanan pulang ke kampung khususnya dalam kalangan warganegara Indonesia, mereka dikehendaki untuk mengkuarantinkan diri selama 14 hari, dan perlu dipantau dengan rapi.

“Jika ada yang mempunyai simptom seperti demam dan batuk, dihantar ke hospital berdekatan, ia memudahkan JPBN untuk mengenal pasti kontek yang terdekat,” katanya pada sidang media selepas membuat pemantauan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di ladang-ladang dan kilang-kilang kelapa sawit, di daerah-daerah Bau dan Lundu.

Hadir sama dalam pemantauan itu ialah Setiausaha Tetap Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Ik Pahon Joyik, dan Pengurus Besar Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA) Joseph Blandoi.

Uggah berkata, setiap kilang kelapa sawit yang beroperasi perlu mengikuti Prosedur Operasi Standard (SOP) dengan memantau pergerakan mereka yang keluar masuk kilang.

“Semua yang keluar masuk melalui pintu masuk utama kilang, perlu menjalani saringan kesihatan. Sesiapa yang mempunyai simptom, tidak akan dibenarkan masuk dan diarahkan ke hospital berdekatan.

“Begitu juga dengan amalan jarakan sosial, kenderaan yang membawa masuk pekerja harus meminimumkan jumlah penumpangnya. Bagi yang tinggal di rumah pekerja, mereka perlu memaklumkan pergerakan mereka kepada pengawal dan hanya seorang sahaja dibenarkan keluar, untuk membeli barang keperluan bagi mereka yang tinggal bersama keluarga,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, JPBN akan mempertimbangkan untuk mewujudkan klinik penyakit pernafasan di kawasan luar bandar bagi pesakit yang mempunyai demam atau batuk sebelum dirujuk ke hospital berdekatan sekiranya mencurigakan.– BERNAMA