KUCHING: Perkhidmatan feri di 10 lokasi hanya beroperasi bermula 7 pagi sehingga 7 malam setiap hari sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sementara tiada operasi feri di Sungai Krian (Kaba-Kabong) dan Sungai Limbang.

Menurut Pengarah Kerja Raya Sarawak Datu Ir. Zuraimi Sabki, perkara tersebut dipersetujui oleh Jawatankuasa Bencana Bahagian yang berkuatkuasa hari ini (Rabu) sehingga 31 Mac depan.

Katanya, arahan terpakai kepada semua perkhidmatan feri dibawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak.

Walau bagaimanapun jelasnya lagi, kesemua operator feri dikehendaki sentiasa bersedia sekiranya terdapat kes kecemasan yang memerlukan perkhidmatan di luar waktu operasi yang ditetapkan.

Untuk feri Batang Lupar (Sebuyau-Triso), masih terdapat tiga feri beroperasi dalam tempoh 7 pagi sehingga 7 malam.

Manakala dua feri beroperasi di Batang Rambungan, Batang Saribas, Batang Paloh, Muara Lassa dan Kuala Igan.

Sementara di Sungai Sian, Batang Kemena Sebauh, Sungai Lidan Marudi dan Batang Lawas hanya terdapat sebuah feri beroperasi.

NOTIS… Pemberitahuan kepada orang awam tentang pemberhentian sementara operasi feri Sungai Krian sepanjang tempoh PKP.