PUSA: Sokongan moral terhadap petugas barisan hadapan dalam memerangi wabak Covid-19 ketika ini sangat penting.

Menurut Kaunselor Datuk Lim Kian Choon, sungguhpun kecil yakni dengan hanya memberi minuman dan makanan, namun sekurang-kurangnya menunjukkan ada insan yang menghargai peranan mereka ketika ini.

“Mereka bekerja keras siang dan malam untuk memastikan masyarakat mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selain membendung penularan wabak Covid-19.

“Jadi, apa salahnya kita sebagai wakil pemimpin di akar umbi membantu dan saya bersyukur kerana Ahli Parlimen Batang Lupar Datuk Seri Rohani Abdul Karim sangat prihatin” soalnya.

Beliau berkata demikian selepas mewakili Rohani menyampaikan sumbangan air minuman dan makanan segera daripada Pusat Khidmat Ahli Parlimen Batang Lupar kepada wakil petugas barisan hadapan di sini, baru-baru ini.

Ia melibatkan Balai Polis Pusa, Beladin dan Pondok Polis Maludam serta Klinik Kesihatan Pusa, Beladin, Semarang termasuk Maludam.

Jelasnya, dengan sumbangan ikhlas ini sekurang-kurangnya dapat memberi sokongan moral kepada semua petugas.

Choon dalam pada itu menggesa pemimpin akar umbi yang lain untuk bersama menghulurkan bantuan sekiranya diperlukan.

“Tidak semestinya wang ringgit, minuman atau makanan, tetapi dalam bentuk pertolongan yang lain.

“Sekarang petugas barisan hadapan sudah bekerja keras untuk kita.

Jadi apa salahnya kita bantu kalau mereka memerlukan?

“Saya harap pada masa ini, semua kita dapat lebih bertanggungjawab,” ujarnya menambah semalam, petugas kesihatan sendiri bertungkus-lumus mendirikan khemah untuk dijadikan tempat pemeriksaan dan pengasingan sementara di Klinik Kesihatan Pusa.

Beliau terus menagih komitmen semua untuk mematuhi tempoh PKP sehingga 31 Mac depan.

Terdahulu Pusat Khidmat Adun Beting Maro turut menyumbang sejumlah dana kepada Bilik Gerakan di Pusa serta pihak IPD Betong untuk membeli air minuman dan makanan segera.