KUCHING: Kerajaan Sarawak memperkenalkan 16 pendekatan di bawah Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang Covid-19, bagi mengurangkan kesan Covid-19 dan melindungi kesejahteraan rakyat negeri ini.

Antaranya bantuan kewangan untuk B40 dan barisan hadapan, diskaun bil elektrik dan air, diskaun untuk penjaja termasuk sewa, taksiran serta premium tanah, pemberian topeng muka percuma serta banyak lagi.

Ketika mengumumkan pendekatan proaktif itu, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, ia melibatkan suntikan dana negeri berjumlah lebih RM1 bilion (RM1,154.1 juta).

“Ini melibatkan perbelanjaan langsung oleh Kerajaan Sarawak sebanyak RM974.75 juta untuk mengurangkan kesan kelembapan ekonomi dan meringankan beban rakyat. “Ini ditambah pula dengan penangguhan pembayaran balik pinjaman, pengecualian bayaran dan diskaun perkhidmatan asas Kerajaan Sarawak sebanyak RM179.79 juta bagi tahun 2020,” katanya pada sidang media di Wisma Bapa Malaysia baru-baru ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas; Tan Sri James Jemut Masing dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan. Abang Johari yang juga Menteri Kewangan berkata, pendekatan yang dilaksanakan itu menyasarkan kakitangan barisan hadapan, isi rumah dan komuniti perniagaan yang pada masa ini memerlukan sokongan.

“Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang adalah model yang seimbang untuk rakyat dan perniagaan, yang menumpukan kepada kesan kelembapan ekonomi akibat pandemik Covid-19. “Pada masa yang sama, ini usaha berterusan kami untuk menggerakkan ekonomi Sarawak ke arah negeri maju menjelang 2030.

“Kerajaan GPS berkongsi kesakitan rakyat dalam masa ini, kami tidak tahu bila pandemik ini akan berakhir tetapi marilah kita berdoa untuk kebaikan Sarawak,” katanya.

Pada masa sama, Abang Johari juga merayu kepada seluruh penduduk Sarawak supaya tinggal di rumah dan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan.