KUCHING: Beberapa arahan baharu berkenaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah dikeluarkan oleh Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) sekitar jam 6 petang semalam.

Menurut kenyataan media, arahan tersebut adalah berhubung kebenaran pergerakan pekerja bermula jam 7 petang hingga 7 pagi.

Antaranya termasuk kebenaran kepada semua petugas media untuk menunjukkan pas media yang dikeluarkan oleh Jabatan Penerangan kepada pegawai polis yang menjaga sekatan jalan.

Bagi editor, kakitangan percetakan dan pekerja yang menghantar surat khabar, mereka digalak untuk menunjukkan surat kebenaran daripada majikan masing-masing sebagai bukti.

Manakala, kepada pihak yang terlibat dalam sektor pertanian, penternakan, perikanan dan akuakultur mereka tidak memerlukan kebenaran untuk menghantar hasil jualan ke pasaran.

Sementara itu, bagi semua kakitangan kerajaan pula, mereka dikehendaki untuk mematuhi pekeliling yang telah dikeluarkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri melalui rujukan 11/ JKM/SHRU/TM/500-3/5/1/2/ JLD.3 bertarikh 19 Mac dan arahan Ketua Jabatan.

Kerjasama daripada semua pihak amat diperlukan untuk melancarkan segala usaha yang dijalankan dalam memerangi wabak Covid-19.

Selain itu, semua lapisan masyarakat diminta menjaga kesihatan masing-masing seperti yang disarankan oleh pihak Jabatan Kesihatan Negeri.