KUCHING: Sebuah farmasi di sini telah dikompaun RM10,000 kerana menjual topeng muka melebihi harga kawalan. Pengarah KPDNHEP Sarawak Datuk Stanley Tan berkata, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap farmasi atau mana-mana pihak yang mengeksploitasi harga topeng muka dalam menghadapi penularan pandemik Covid-19 ketika ini.

“KPDNHEP Sarawak menjalankan pemantauan harian di premis perniagaan setiap hari. “Tumpuan sekarang adalah untuk memastikan bekalan topeng muka berada di pasaran disebabkan permintaan yang tinggi oleh orang ramai,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Menurut beliau, harga topeng muka adalah dikawal oleh kementerian dan menjadi satu kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 sekiranya menjual melebihi harga yang ditetapkan.

Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai supaya menyalurkan sebarang aduan kepada KPDNHEP sekiranya ada pihak yang menjual topeng muka pada harga tidak munasabah untuk siasatan lanjut.

Manakala bagi gel pencuci tangan, Stanley berkata, ia bukan barang kawalan. Pun begitu katanya, peniaga yang mengambil keuntungan tidak munasabah boleh dikenakan tindakan kerana mencatut.