SIMANGGANG: Duduk di rumah mampu mengukuhkan institusi keluarga, kata Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti Datuk Francis Harden Hollis. Katanya, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan sehingga 14 April ini harus diambil positif oleh semua pihak.

“Duduk di rumah dan jangan keluar. Ambil positif langkah tersebut untuk mengukuhkan institusi keluarga yang duduk dalam satu bumbung,” pesannya. Jelasnya, lebih penting ia merupakan usaha kerajaan menangani penularan wabak Covid-19 agar kitaran virus tersebut terputus yang akhirnya dapat memastikan kehidupan masyarakat kembali normal.

Justeru itu menurutnya, perintah yang bermula 18 Mac lalu itu harus sentiasa dipatuhi semua pihak. Harden yang juga Adun Simanggang menjelaskan, sumbangan kepada petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus membendung Covid-19 di Sri Aman disifatkan sebagai langkah menghargai peranan ‘wira-wira’ negara.

Beliau melalui Pusat Khidmat Adun Simanggang menyalurkan 500 penutup hidung dan mulut, 30 kotak air minuman, 10 kotak air minuman isotonik dan lima kotak biskut. Kesemua sumbangan disampaikan oleh Penghulu Tiong Chong Onn dan Kapitan Tay Siaw Chuan kepada wakil petugas, Ketua Polis Daerah Sri Aman DSP Bingkok John di pekarangan Bilik Gerakan.