KUCHING: “Sekarang ini, saya hanya meraih RM60 sehari, berbanding RM800 sehari sebelum ini.” Demikian pengakuan penjual ikan terubuk masin, Haslan Mohd Buang, 39, di Medan Niaga Satok di sini, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa pada 18 Mac lalu ekoran wabak Covid19.

“Kebanyakan pelanggan saya adalah dari Semenanjung Malaysia… jadi dalam keadaan sekarang ini, sudah pasti perniagaan saya jatuh merudum. “Kalau hujung minggu sebelum PKP, pendapatan saya mencecah RM2,000 sehari, tetapi sekarang ini hanya RM500,” jelas Haslan.

“Malah penjual makanan laut seperti udang dan sotong turut terkesan. Ini kerana peniaga makanan seperti laksa dan tomyam tidak beroperasi,” ujarnya. Sementara itu, seorang lagi peniaga, Salleh Mostapa, 60, menjelaskan sejak sebulan kebelakangan ini, perniagaannya jatuh 70 peratus kerana kekurangan pelanggan.

“Selalunya pada hujung minggu sekitar 500 hingga 1,000 pelanggan membeli ikan, udang, ketam dan sebagainya, tetapi kini paling ramai pun 100 orang. “Sebelum ini, pada hujung minggu saya menjual sekurangkurangnya 300 kilogram hasil laut, tetapi sekarang sotong 30 kilogram pun susah nak habis,” katanya.

Tambah Salleh, pelanggan yang datang pada musim PKP pula hanya membeli barang keperluan dan terus pulang. “Jadi, saya berharap agar krisis yang melanda dunia sekarang ini dijadikan iktibar dan dapat diselesaikan dengan segera supaya kehidupan rakyat pulih seperti biasa,” jelasnya.

Kesan wabak Covid-19 bukan sahaja kepada peniaga makanan basah, malah turut dirasai peniaga sayur, Voon Hiong Moi, 44. “Sekarang tidak ramai yang datang membeli sayur kerana mereka takut keluar dari rumah. Malah, saya terpaksa menjual dengan lebih murah daripada harga biasa kerana takut ia rosak,” katanya.

Hiong Moi turut berharap agar penularan wabak Covid-19 dapat ditangani dengan pelaksanaan PKP agar orang ramai dapat meneruskan kehidupan seperti biasa. Kini tujuh hari sudah berlalu sejak PKP, kelihatan longgokan ikan, udang, sotong, ketam tidak terusik di atas meja jualan.

Tiada seorang pun kanakkanak kelihatan, malah kebanyakan pembeli adalah kaum lelaki yang bertopeng muka dan bersarung tangan. Wabak Covid-19 masih lagi menghantui masyarakat dunia sekarang ini, dan rakyat Malaysia turut tidak terkecuali.

Sekarang ini, angka kematian di seluruh dunia mencecah 17,136 dengan 391,935 kes. Itali mencatat jumlah kematian tertinggi (6,077), diikuti China (3,277) dan Sepanyol (2,696). Apa yang perlu kita lakukan sekarang ini ialah mematuhi segala arahan pihak berkuasa bagi mengelak jangkitan, sekali gus menangani virus berbahaya ini daripada terus merebak.