KUCHING: Seramai 28 orang telah ditangkap di negeri ini kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Dev Kumar berkata 24 daripada mereka adalah lelaki manakala empat lagi adalah wanita.

“Seramai 26 orang telah ditangkap kerana tidak dapat memberi alasan yang sah untuk berada di jalan raya atau tempat awam manakala dua orang lagi ditangkap di Batu Niah kerana merempuh sekatan jalan raya,” katanya di sini, semalam.

Jelas Dev, daripada jumlah berkenaan sembilan orang ditangkap di Miri, Dalat (tujuh orang), Sarikei (empat), Kota Samarahan (dua), Lawas (dua), Bintulu (dua), Kuching (satu) dan Padawan (satu).

Beliau menambah 26 orang dibebas dengan jaminan polis setelah percakapan dirakam manakala dua lagi kerana merempuh sekatan jalan raya ditahan di dalam lokap polis untuk siasatan lanjut.

Katanya, semua kesalahan disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan / Peraturan 7 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan 2020).