PEMAIN utama Kuching FA, Joseph Kalang Tie rindu untuk beraksi dan menjalani sesi latihan bersama-sama rakan sepasukan. Penangguhan perlawanan Liga Malaysia 2020 telah pun memasuki minggu kedua, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa.

“Saya berharap keadaan akan pulih seperti sedia kala selepas ini, dan banyak lagi perlawanan yang perlu diharungi,” kata Joseph. “Setelah agak lama ‘berkurung’ kini mula terasa rindu untuk bermain. “Dalam tempoh kawalan ini, saya ingin menasihati rakan-rakan seperjuangan agar mematuhi tempoh kawalan dan menjaga kesihatan masing-masing,” katanya.

Menurut Joseph, wabak Cobid-19 amat menakutkan kerana telah pun mengancam ribuan nyawa di seluruh dunia. “Kita harus sentiasa berada di rumah dan hanya keluar sekiranya ada urusan penting. Sama-sama kita ringankan beban kakitangan perubatan dan pihak-pihak yang terlibat.

“Patuhi arahan, dan jangan ingkar kerana kita semua mampu mengubahnya,” katanya lagi. Joseph turut meluangkan aktiviti bersama-sama keluarga di rumah sepanjang tempoh kawalan dengan melakukan kerja rumah dan latihan kecergasan.

“Inilah masa saya untuk bersama-sama keluarga, kerana ketika saingan Liga Malaysia berlangsung tidak banyak masa untuk saya bersama-sama keluarga.

“Di samping itu, saya juga melakukan latihan kecergasan fizikal menggunakan alternatif sendiri seperti yang disarankan oleh jurulatih dan juga panduan latihan yang telah disediakan,” ujarnya. Joseph yang muncul sebagai penjaring terbanyak Liga M3 musim lalu, belum lagi meledakkan sebarang gol setelah melalui empat aksi musim ini.