KOTA SENTOSA: Sekatan Jalan Raya (SJR) sempena Covid-19 di sini memuaskan apabila orang ramai hanya keluar dengan alasan yang munasabah.

Pegawai Pemantau SJR IPD Padawan, Inspektor Nicodemus Branking berkata, operasi yang dijalankan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan menyaksikan kurang kenderaan pada waktu malam.

“Setakat ini kita menerima alasan munasabah daripada pengguna jalan raya seperti bekerja dengan surat pengesahan majikan.

“Namun, kita akan menahan pemandu yang membawa penumpang dengan alasan menghantar ahli keluarga sakit,” katanya ketika ditemui oleh Suara Sarawak di sini semalam.

Kata Nicodemus lagi, seramai tujuh anggota yang terdiri daripada empat polis dan tiga tentera dikerahkan untuk memastikan PKP dipatuhi dengan tiga syif. “Syif pertama dijalankan dari jam 8 pagi hingga 4 petang, kedua (4 petang hingga 12 tengah malam) dan ketiga (12 tengah malam hingga 8 pagi).

“Bagi IPD Padawan, kita mengadakan empat SJR iaitu di Batu Kawa, Kota Sentoasa, Batu 11 Jalan Kuching-Serian dan Batu 18 Jalan Kuching-Serian,” jelasnya.

Tambahnya, kebanyakan kenderaan komersial seperti membawa tong gas dan ais berada di jalan raya pada waktu malam hingga pagi. Mengulas mengenai sambutan Hari Polis Ke-213 pula, Nicodemus mengingatkan para anggota polis untuk terus bersemangat bekerja meskipun negara dilanda wabak Covid-19.

“Sepanjang 13 tahun saya berkhidmat, ini kali pertama menyambut Hari Polis di atas jalan raya.

Saya menasihatkan kepada anggota polis di barisan hadapan memerangi wabak Covid-19 untuk minum banyak air terutamanya cuaca panas terik,” ujarnya.

Suara Sarawak turut mengucapkan Selamat Hari Polis Ke-213 kepada semua anggota polis di seluruh negara.