KUCHING: Klinik Respitori di Stadium Tertutup Kuching kini beroperasi, kata Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Datuk Amar Douglas Uggah Embas. Menurutnya, kemudahan terbabit hanya menempatkan individu yang mengalami demam, batuk dan masalah pernafasan lain.

“Mereka tidak boleh ada kontak dengan sebarang orang di bawah siasatan (PUI) Covid-19 atau suspek kepada kontak penyakit tersebut. “Klinik ini pada dasarnya dapat meleraikan kesesakan di hospital-hospital kerajaan dan kita mahu mengelak mereka yang disyaki Covid-19 bercampur dengan orang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat kemudahan berkenaan bersama-sama Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian, Menteri Muda Komunikasi Korporat Abdullah Saidol, Setiausaha Kerajaan Datuk Amar Jaul Samion serta Pengarah Jabatan Negeri Dr Chin Zin Hing di sini baru-baru ini.

Uggah menambah, setiap individu yang berkunjung ke kemudahan terbabit bagaimanapun akan diperiksa suhu badan termasuk menjaga jarak di antara satu sama lain. Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri menjelaskan, pusat itu dibuka dari jam 8 pagi hingga 5 petang setiap hari kecuali hujung minggu dan cuti umum.

Katanya, perkhidmatan yang ditawarkan di pusat berkenaan adalah percuma sambil menegaskan, kontak rapat kepada suspek Covid-19 pula diperiksa di Kompleks Belia dan Sukan. Kata Uggah lagi, pusat itu dibahagi kepada dua iaitu mempunyai simptom Covid-19 dan tanpa simptom.

Sementara itu Kui Hian berkata, Kerajaan Sarawak mempertimbangkan untuk menubuhkan lebih banyak klinik respitori di bandar utama seperti Miri, Sibu dan Bintulu. “Kita bermula di Kuching terlebih dahulu dan melihat perkembangannya. “Salah satu isu utama ialah perlindungan barisan hadapan  dalam mengekang Covid-19 seperti doktor dan jururawat,” katanya.

Jelasnya, dengan kemudahan terbabit, semua mereka yang demam, batuk dan sukar bernafas boleh datang ke Stadium Tertutup Kuching untuk melakukan pemeriksaan berbanding mengunjungi hospital swasta. “Jika tidak, semua pengamal perubatan swasta perlu melindungi peralatan personal dan sebagainya serta mungkin berdepan dengan pesakit positif Covid-19.

“Di Sarawak, kita ada lebih daripada 250 pengamal perubatan swasta dan amat sukar untuk menyediakan perlindungan mencukupi kepada mereka,” ujarnya.

Katanya, pengamal perubatan swasta perlu fokus kepada kes yang bukan berkaiatan dengan Covid-19. “Kita perlukan mereka sebab mereka juga menyediakan perkhidmatan penting untuk menangani aspek perubatan lain,” katanya.