KINI wabak Covid-19 menembusi hampir 400,000 kes di 196 negara ketika wabak ini berjaya “dijinakkan” di Wuhan dan wilayah besarnya Hubei.

Ketakutan dunia menerima peningkatah jumlah jangkitan dan kematian yang melonjak kepada 17,000 jiwa, memaksa banyak negara mengenakan perintah sekatan perjalanan.

Bahkan, ada yang mengenakan sekatan perjalanan pada waktu malam. Bermula dari negara di Asia, Eropah hingga Amerika Syarikat memutuskan melarang warga awam keluar pada waktu malam hingga pagi. Arab Saudi salah satu negara yang baharu sahaja melarang rakyatnya keluar pada waktu malam di seluruh negara sejak Isnin lepas, bermula 7 malam sehingga 6 pagi selama 21 hari.

Peraturan ini tidak melibatkan jabatan penting antaranya seperti tentera, media, serta petugas kesihatan. Negara Timur Tengah lain yang menerapkan langkah keluar malam ialah Libya, Aljazair, Kuwait, Pakistan, Sudan, Jordan dan Tunisia.

Walaupun dari segi masa berbeza, penerapan larangan keluar malam memakan masa sekitar lapan hingga 12 jam. Misalnya Kuwait 5 petang hingga 4 pagi, manakala Sudan 8 malam hingga 6 pagi. Memetik Aljazeera, Kuwait menghukum rakyatnya yang keluar malam sehingga tiga tahun penjara atau dikenakan denda mencapai 10,000 dinar.

Turki pula melarang warga berusia 65 tahun ke atas dan yang memiliki penyakit kronis kelyar rumah dan menaiki pengangkutan awam. AFP melaporkan Jordan menangkap 880 warganya kerana melanggar peraturan keluar pada waktu malam. Polis Tunisia pula menangkap lebih 400 orang karena keluar pada waktu malam.

Sri Lanka menahan 2,000 rakyatnya yang melanggar peraturan. Manakala, negara Eropah awalawal lagi menerapkan “lockdown”. Perancis menyekat pergerakan malam rakyatnya di beberapa wilayah dan memperketat peraturan di beberapa kota seperti Nice dan Montpellier.

Paraguay pula mengenakan sekatan perjalanan rakyatnya bermula 8 malam sehingga 4 pagi. Di Asia, Sri Lanka dan India mengenakan sekatan perjalanan pada waktu malam. India mengenakan sekatan perjalanan malam selama 14 hari bermula 9 malam hingga 7 pagi.

Negara lain mengenakan larangan perjalanan malam ialah Filipina dan Malaysia. Di Amerika Latin, Chile dan Equador menerapkan sekatan perjalanan malam dengan Chile mengenakan sekatan bermula 10 malam hingga 5 pagi.

Beberapa negara di Afrika Barat juga melaksanakan perintah sekatan pada waktu malam bermula minggu ini dengan pasukan bersenjata diperintah mengawal keadaan.