KUCHING: Persatuan Muaythai Sarawak (PMS) bersama-sama Sarawak Press Photographer Association (SPPA) mengedarkan 100 bungkus makanan serta minuman kepada barisan hadapan yang bertugas dalam menghadapi Covid-19 di sini, semalam.

Menurut Presiden PMS Jumaat Ibrahim, inisiatif itu diambil bagi menghargai petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus bekerja untuk memastikan kesihatan orang awam pada tahap terbaik.

“Justeru kami terpanggil untuk melakukan kerja amal ini bagi menghargai kumpulan barisan hadapan ini agar mereka tahu yang rakyat Sarawak menghormati pengorbanan mereka,” katanya.

Katanya, sumbangan berkenaan diharap dapat meringankan beban pekerja barisan hadapan seperti doktor, jururawat, polis dan tentera yang sanggup bekerja sepanjang masa untuk memastikan Sarawak dalam keadaan selamat dan memastikan rakyat yang dijangkiti Covid-19 mendapat rawatan yang terbaik.

Manakala Bendahari SPPA Zulazhar Sheblee berkata, penglibatan pihaknya dalam mengagihkan makanan itu adalah sebagai tanda penghargaan kepada barisan hadapan.

“Kami melihat secara dekat bagaimana mereka bekerja. Mereka bertungkus-lumus bekerja untuk kesejahteraan kita semua. “Bantulah mereka dengan duduk di rumah dan doakan kesejahteraan serta perlindungan kepada mereka,” katanya.