KUCHING: Sarawak Energy Berhad (SEB) sentiasa komited memastikan sistem jana kuasa elektrik kepada penduduk Sarawak berterusan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SEB Datuk Sharbini Suhaili berkata, SEB tetap mematuhi semua arahan yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) bagi memastikan PKP dijalankan dengan baik.

“Kami telah mengaktifkan pelan kesinambungan perniagaan yang komprehensif untuk memastikan operasi harian penduduk dijalankan dengan lancar dan sekiranya memberi impak kepada pelanggan pun tidak banyak.

Sharbini Suhaili

“Kami juga mengambil langkah membahagikan pasukan, dengan kakitangan perkhidmatan penting terus beroperasi bagi mematuhi nasihat daripada pihak terlibat, sementara pasukan lain memberikan sokongan dan melaksanakan tanggungjawab mereka dari jauh atau di lokasi alternatif yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Sharbini berkata, perkhidmatan penting atau pasukan bahagian kritikal SEB, termasuk operasi jana kuasa, sumber tenaga, operator sistem grid, pembangunan projek, penghantaran dan pengedaran, ICT, kesihatan dan keselamatan pekerja dan bangunan serta kemudahan dan infrastruktur.

“Pihak kami menggalakkan para pelanggan untuk melakukan transaksi melalui aplikasi mudah alih SEB yang boleh dimuat turun dari Google Play Store atau Apple App Store. “Malah, para pelanggan juga boleh melihat bil mereka atau melaporkan sebarang isu teknikal dan membuat pertanyaan melalui aplikasi itu,” katanya.

Jelasnya, pembayaran bil elektrik juga boleh dilakukan melalui perbankan dalam talian atau e-Wallet seperti Sarawak Pay, Boost and JomPay. Sharbini berkata, SEB telah mengambil langkah awal sejak Januari lalu berikutan wabak virus itu dengan mematuhi saranan kerajaan mengehadkan perjalanan untuk mengurangkan penyebaran Covid-19 di Sarawak.

“Nasihat dalaman terus dikeluarkan secara kerap untuk memastikan semua pekerja dimaklumkan mengenai perkembangan terkini Covid-19 dan peringatan tentang cara terbaik untuk melin-dungi diri daripada jangkitan serta nasihat daripada pihak berkuasa. “Pelanggan boleh menghubungi khidmat pelanggan 24 jam SEB di talian 1-300-88-3111 sekiranya mereka mempunyai sebarang pertanyaan,” katanya.