BANGKOK: Rawinta Ropngam di dalam dilema sama ada terus tinggal di Bangkok atau menyertai puluhan ribu pekerja lain meninggalkan bandar raya itu, berikutan penutupan pusat beli-belah  pada Ahad lepas.

Sebaik Perdana Menteri Jeneral Prayuth Chan o-cha mengisytiharkan darurat bermula hari ini sehingga 30 April untuk membendung wabak COVID-19, beliau memutuskan meninggalkan bandar raya Bangkok.

Jururias tangan dan kuku berusia 25 tahun dari Ubon Ratchathani itu berkata, beliau tidak mempunyai pilihan lain memandangkan tidak akan dibayar gaji sepanjang tempoh penutupan.

“Saya tahu kerajaan menasihatkan orang ramai tinggal di Bangkok dan tidak pergi ke mana-mana. Saya tiada pilihan. Kos hidup di Bangkok sangat tinggi. Saya ambil keputusan pulang ke kampung,” katanya kepada Bernama.

Thailand mengisytiharkan darurat di seluruh negara untuk melaksanakan langkah pencegahan lebih ketat untuk mengekang rantaian jangkitan memandangkan kes kini mencecah 1,000 orang dengan empat kematian.

Antara langkah yang dilaksanakan ialah semua warga asing dilarang memasuki negara ini melalui semua pintu masuk, kecuali diplomat, mereka yang memiliki permit kerja dan bekerja dalam sektor pengangkutan.

Rakyat Thailand yang mempunyai kebenaran kedutaan dan sijil kesihatan  dikecualikan daripada larangan perjalanan.

Di bawah perintah darurat, semua pusat beli-belah, tempat hiburan dan sukan ditutup, hanya pasar raya menjual makanan dan keperluan harian, pasar, farmasi dan kedai serbaneka masih dibuka. Restoran dan kafe hanya menawarkan pembelian bawa pulang dan penghantaran.

Sementara itu, seorang peniaga di sebuah pusat beli-belah di Bangkok, Chalinee, 22, mengambil keputusan untuk pulang ke kampung sebelum kerajaan mengenakan perintah berkurung atau sekatan perjalanan di dalam negara.

“Saya berharap kerajaan dapat memerangi wabak ini secepat mungkin  supaya saya dapat kembali mencari rezeki untuk anak-anak,” katanya.

Sepanjang minggu lalu, puluhan ribu pekerja asing dan warga Thailand membanjiri Terminal Bas Mo Chit, Terminal Bas Timur (Ekkamai) dan Terminal Bas Selatan Bangkok (Sai ​​Tai Mai).

Keadaan itu mencetuskan kebimbangan yang serius mengenai penyebaran COVID-19.

Hari ini, Thailand melaporkan 111 kes baharu menjadikan jumlah keseluruhan 1,045 kes.