LIONEL Messi, Cristiano Ronaldo dan Neymar kekal sebagai antara tiga bintang bola sepak terkaya di dunia. Mereka meraih pendapatan paling tinggi dalam sukan bola sepak berdasarkan kajian majalah France Football.

Kajian berkenaan berdasarkan pendapatan pemain paling tinggi di dunia, ditambah dengan anggaran kasar gaji, selain hak cipta dan bonus yang diterima sepanjang musim.

Bintang Barcelona/Argentina, Messi meraih pendapatan tertinggi iaitu 131 juta euro (RM627 juta) setahun. Ini bermakna Messi meraih RM52 juta sebulan.

Sementara bintang Juventus/Portugal, Ronaldo pula meraih pendapatan 118 juta euro (RM564 juta) setahun, iaitu sekitar RM47 juta sebulan. Manakala bintang Brazil dan Paris Saint-Germain (PSG), Neymar pula di kedudukan ketiga, 95 juta euro (RM454 juta) menyamai RM38 juta sebulan.

Kedudukan pengurus memperoleh pendapatan lumayan milik Diego Simeone dari Atletico Madrid dengan jumlah gaji keseluruhan sebanyak 40.5 juta euro (RM193 juta) setahun.

Ia diikuti pengendali Inter Milan, Antonio Conte 30 juta euro (RM143 juta) dan ketiga Pep Guardiola dari Manchester City, 27 juta euro (RM130 juta).