MUKAH: Penduduk Mukah tidak perlu risau dan cemas kerana semua barang keperluan asas dijamin mencukupi sehingga tempoh tamatnya Perintah Kawalana Pergerakan (PKP) pada 14 April ini.

Itu jelas Ketua Cawangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Mukah, Salihin Den berkenaan dengan keadaan terkini sumber bekalan barangan keperluan di sini.

Beliau berkata para pembekal dan pemborong sentiasa memiliki bekalan yang mencukupi dan ada pada setiap masa.

“Pihak kita menggunakan semua kaedah agar bekalan makanan dan keperluan asas lain tidak mengalami masalah antaranya ialah melalui pemantauan di lapangan.

“Pemantauan ini kita lakukan di pasaraya dan peruncit yang menjadi tumpuan ramai di Mukah bagi memastikan bekalan sentiasa mencukupi,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak hari ini.

Tambahnya lagi beliau turut menghargai kerjasama yang terbaik diberikan oleh penduduk Mukah kerana memahami akan situasi yang dihadapi kini dan tidak melakukan pembelian panik.

Berdasarkan pemantauan di beberapa pasaraya di sini turut menunjukkan ramai penduduk mula berbaris panjang bagi mendapatkan bekalan barangan keperluan disamping mempraktikkan penjarakan sosial termasuk menggunakan topeng muka sepanjang PKP ini.

Pasararaya di sini turut menetapkan hanya maksimum 20 hingga 30 orang pelanggan sahaja dibenarkan memasuki kedai bagi mengelakkan kesesakan dan bersentuhan antara satu sama lain disamping pemeriksaan suhu badan turut menjadi ketetapan untuk pelanggan bagi mengekang penularan wabak ini.