KUCHING: Petani dan penternak boleh menjalankan rutin harian seperti biasa bagi mengelak berlaku terputus bekalan makanan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan kini.

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), arahan tersebut dikeluarkan selepas mengadakan mesyuarat yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johan Tun Openg, semalam.

“Petani, penternak dan nelayan dibenarkan untuk menjual produk mereka di tempat yang telah dipersetujui oleh Majlis Perbandaran dan Kerajaan Tempatan dari jam 7 pagi hingga 7 malam,” jelas kenyataan media itu.

Dalam kenyataan media yang sama, terdapat empat kes baharu positif Covid-19 dicatatkan di Sarawak, semalam.

Ia menjadikan jumlah bilangan kes di Sarawak sebanyak 95 kes sejak kes positif pertama dilaporkan pada 13 Mac lepas.

Tiga kes baharu dirawat itu di Hospital Umum Sarawak (HUS) manakala satu kes lagi di Hospital Sibu.

Sebanyak 48 kes baharu pesakit di bawah siasatan (PUI) dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 956 kes.

Daripada jumlah tersebut, 812 kes adalah negatif dan 49 kes PUI masih menunggu keputusan makmal.

Sehingga kini, Sarawak telah merekodkan lima kematian sejak kes pertama dilaporkan pada 17 Mac lalu.