KUCHING: Demi keselamatan, rakyat perlu patuh dengan lanjutan Perintahan Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April ini, kata Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah. Jelasnya, itu pengumuman terbaharu Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin semalam dan ibu bapa perlu memaklumkan perkara ini kepada anak-anak mengenai langkah ini.

“Ibu bapa juga boleh memikirkan jadual pelbagai aktiviti untuk anakanak demi kesejahteraan fizikal, emosi dan rohani sepanjang perintah pergerakan dilaksanakan,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak.

Selain itu katanya, ibu juga berperanan menyajikan makanan seimbang sepanjang tempoh PKP kini. “Langkah ini penting untuk meningkatkan tahap imuniti badan setiap ahli keluarga,”ujarnya lagi.

Semalam kerajaan mengambil keputusan untuk melanjutkan PKP hingga 14 April ini susulan kes positif wabak yang masih berlaku.

Perdana Menteri menjelaskan, keputusan itu dimaklumkan lebih awal bagi memberi ruang kepada rakyat untuk membuat persediaan awal.

“Saya diberikan taklimat oleh Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara, pola semasa menunjukkan kes positif Covid-19 yang baharu masih berlaku,” katanya.