KUCHING: Cuepacs Negeri Sarawak berharap semua pejawat awam dapat melaksanakan tugas dengan baik walaupun bekerja dari rumah. Pengerusinya Ahmad Mahlie berkata, mereka menyambut baik lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan usaha kerajaan dalam menangani penularan wabak Covid-19 ini.

“Cuepacs berharap penjawat awam dapat melaksanakan tugas masing-masing dengan penuh dedikasi walaupun terpaksa bertugas di rumah selaras dengan ikrar “Berkhidmat Untuk Negara”. “Kita dapat membantu kerajaan memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat walaupun kemudahan kita sedikit terjejas oleh penularan wabak ini,” katanya.

Tambahnya, Cuepacs juga berharap kerajaan dapat mempertimbangkan kebajikan petugas barisan hadapan dalam usaha meringankan beban tugas. “Lebih-lebih lagi tempoh kawalan pergerakan dilanjutkan hingga 14 April nanti. Sudah pasti akan menimbulkan tekanan kepada yang terlibat.

“Sekurang-kurangnya kerajaan mengambil berat mengenai emosi penjawat awam yang bertugas di barisan hadapan,” jelasya. Cuepacs mengesa semua pihak mematuhi PKP yang diumumkan kerajaan dengan berada di rumah ketika ini.

“Jangan ada yang mengambil peluang untuk bercuti atau balik ke kampung. “Jangan keluar bebas tanpa tujuan penting dan mematuhi PKP sekiranya mahu keadaan negara segera pulih seperti biasa,” tegasnya.