PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) telah dipanjangkan dari 18 Mac hingga 14 April. Ia tindakan wajar bagi mengekang penularan wabak Covid-19 yang melanda negara kini. Individu degil yang melanggar arahan PKP akan berhadapan hukuman penjara atau denda RM1,000.

PKP melibatkan penutupan semua premis kerajaan dan swasta kecuali mereka yang menyediakan perkhidmatan penting. Malah semua rumah ibadat serta premis perniagaan turut ditutup kecuali pasar raya, pasar basah, kedai runcit dan kedai serbaneka yang menjual keperluan harian.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan, PKP mungkin akan dilanjutkan jika tahap penularan terkini wabak itu tidak menunjukkan penurunan. Ini dikukuhkan lagi dengan situasi semasa PKP yang pematuhannya hanya sekitar 95 peratus, sedangkan kerajaan menyasarkan pematuhan maksimum seratus peratus.

Jika jumlah kes baharu ini masih berterusan dan jangkitan tidak reda, tidak mustahil umat Islam di negara ini akan berpuasa dalam waktu PKP. Bayangkan, sambutan Ramadan tanpa terawih dan bazar Ramadan. Dan mungkin juga kita meraikan Aidilfitri dan Gawai Dayak dengan sekatan yang sama – menjadikan sambutan ini paling serderhana, tanpa menerima tetamu. Inilah risiko yang bakal kita hadapi sekiranya rantaian Covid-19 tidak terputus.

Jika pandemik ini berterusan, ia pasti meninggalkan kesan besar kepada kehidupan kita. Ini kerana sebahagian daripada kehidupan kita bergantung kepada pekerjaan di luar, atau memerlukan kita untuk keluar dari rumah. Lebih teruk bagi mereka yang berniaga di tepi jalan, melaksanakan perkhidmatan harian, perniagaan dan sebagainya.

Sering kali media tempatan memaparkan pesanan kepada orang awam agar tinggal di rumah ketika PKP ini berlangsung. Namun, kesedaran orang awam terhadap usaha PKP ini masih belum menyeluruh kerana masih ada yang ingkar dan keluar sesuka hati. Malah ada yang mengambil peluang pulang ke kampung tanpa memikirkan bahaya yang dihadapi.

PKP dilaksanakan untuk kebaikan semua pihak. Ini setelah pakar menyedari virus itu boleh merebak pada jarak satu meter, melalui batuk, sentuhan dan sebagainya. Justeru orang ramai dinasihat untuk agar menjaga kebersihan diri dan kerap membasuh tangan untuk menghalang penularan virus itu.

Dalam konteks mengekang penularan virus Covid-19 ini, negara China harus dipuji kerana mampu melawan wabak itu daripada merebak. Disiplin pematuhan rakyat China yang tidak keluar rumah semasa perintah berkurung perlu dicontohi rakyat Malaysia.

Sudah tentu rakyat China juga panik ketika wabak itu aktif merebak, apatah lagi negara itu merupakan tempat asal virus tersebut wujud hingga mengorbankan lebih 3,000 rakyatnya. Pada masa yang sama, kita juga perlu mengambil iktibar daripada Itali yang gagal memberi reaksi awal terhadap wabak ini, dan kini bergelut dengan Covid-19 hingga angka kematian di negara itu melebihi China.

Penularan wabak itu di Itali seolah-olah mimpi ngeri dan menjadi pengajaran yang berharga kepada rakyat di negara itu. Pilihan untuk mencontohi negara China atau Itali berada di tangan rakyat Malaysia ketika ini.

Mereka harus sedar bahawa bahaya wabak Covid-19 yang boleh membawa maut itu dapat dielak, dan caranya cukup mudah, jangan bertemu dengan mereka yang berisiko menjadi perumah penyakit itu.

Gunakan PKP sebagai ruang untuk meluangkan masa bersama-sama keluarga. Sentiasa menjaga kebersihan dan elakkan keluar dari rumah jika tiada keperluan mendesak. Kita mampu melakukannya.