GEORGE TOWN:  Grab Malaysia mengucapkan terima kasih kepada kerajaan atas bantuan yang diberikan di bawah Pakej Ransangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) kepada 120,000 pemandu e-hailing yang pendapatan mereka terjejas akibat pandemik COVID-19.

Ketua Negara Grab Malaysia Sean Goh berkata syarikat itu menyambut baik bantuan wang tunai secara ‘one-off’ sebanyak RM500 kepada setiap pemandu dan menyifatkan wang itu akan membantu dalam tempoh mencabar ini. Bantuan wang tunai berkenaan akan dibayar bulan hadapan.

“Pada tempoh mencabar ini, kami berterima kasih atas sokongan untuk rakyat Malaysia yang berusaha keras dalam ekonomi gig dan digital ini. Bersama-sama, dengan bantuan daripada kerajaan dan industri, kami harap komuniti ini dapat melalui tempoh ini,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata Grab Malaysia telah melancarkan ‘Partner Protection Fund’ yang menyediakan bantuan kewangan kepada petugas yang perlu menjalani kuarantin atau menerima rawatan untuk COVID-19.– BERNAMA