KUALA LUMPUR: Di sebalik Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diikuti dengan penutupan sekolah agak lama, semestinya menimbulkan keresahan dalam kalangan ibu bapa yang bimbang anak mereka akan jauh ketinggalan dalam sukatan pelajaran.

Bukan sahaja ibu bapa, para guru turut mengalami kerisauan sama, khuatir tidak sempat menghabiskan sukatan pelajaran 2020, dan mahu ‘mengejar balik’ topik pendidikan yang ditinggalkan sejak bermulanya cuti persekolahan penggal pertama pada 14 Mac lepas, ditambah pula dengan PKP yang dikuatkuasakan 18 Mac hingga 14 April.

Guru Sekolah Menengah Kebangsaan Tasek Damai, Ipoh, M. Mageswary yang mengajar program pendidikan khas (pendengaran) tidak berdiam diri, sebaliknya melaksanakan pengajarannya dalam talian dan mengaplikasikan kemudahan teknologi iaitu pembelajaran abad ke-21.

“IT memang sesuai untuk pendidikan khas terutamanya pelajar bermasalah pendengaran. Saya menggunakan aplikasi WhatsApp sebagai medium, dan pelajar saya sangat pandai menggunakan panggilan video WhatsApp.

“Kami perlu berkomunikasi dengan menggunakan bahasa isyarat kerana pelajar bermasalah pendengaran memerlukan bimbingan guru dalam memahami setiap tugas yang diberikan kerana mereka mempunyai keupayaan yang berlainan, malah juga yang autisme,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata, sebagai pelan pengajaran, beliau menjalankan pembelajaran berasaskan projek yang memerlukan beliau menghasilkan bahan pengajaran untuk menyokong buku teks Bahasa Inggeris yang susah difahami pelajar istimewanya.

“Saya minta mereka memuat turun aplikasi Color Splash dari Play Store, dan memberi mereka imej yang saya diimbas dan ambil dari buku bahasa bahasa Inggeris … setiap hari saya memberikan mereka tiga imej dan mereka akan menghantar saya kembali. Dari situ mereka akan belajar cara percikan warna pada imej,” katanya.

Menurut Mageswary, teknik itu membolehkan pelajar tersebut meningkatkan penguasaan kod tangan Bahasa Inggeris dan penguasaan tatabahasa, selain mudah mendekati pelajar khas ini dengan menggunakan aplikasi telefon dan teknologi berbanding penggunaan modul buku yang dirasanya kurang berkesan.

“Jadi teknik pengajaran alaf 21 tampak berkesan kerana pelajar pendengaran boleh menggunakan kemahiran tambahan, iaitu mengenali aplikasi teknologi baharu dan menjadi kreatif melaluinya.

“Ada antara pelajar saya yang menggunakan aplikasi Colour Splash yang kini kreatif, mereka tidak hanya mewarnakan baju karakter (kandungan aplikasi) sahaja, malah ada yang membuat corak sampingan,” katanya.

Beliau berkata perkembangan positif ini menunjukkan pelajar dapat berfikir secara kritis dengan mencipta corak sendiri, menjadikan objektif pengajarannya tercapai.

Mageswary berkata adalah menjadi tanggungjawab utamanya membimbing pelajar istimewa ini agar tidak terlalu ketinggalan dan dapat meningkatkan pembelajaran kendiri secara konstruktif selain memanfaatkan cuti panjang ini dengan aktiviti di rumah.

Sementara itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) juga telah menyediakan Garis Panduan Pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) semasa PKP, bertujuan memperincikan peranan dan tanggungjawab pentadbir, guru, ibu bapa dan murid dalam memastikan keberkesanan penyampaian PdP.

Menurut KPM, guru diberikan fleksibiliti dari segi masa PdP, kaedah membimbing murid, menyemak dan memeriksa latihan, tugasan dan kerja rumah murid, namun penghantaran dan pengambilan bahan cetak yang melibatkan pergerakan dalam tempoh PKP adalah dilarang sama sekali.

Seorang guru Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Masai, Johor, E. Pushpaavalli berkata pembelajaran dalam talian digunakan secara maksimum pada tempoh PKP ini bagi para pelajarnya.

Beliau yang mengajar Tahap Satu menjelaskan portal Google Classroom merupakan medium pengajaran dengan anak muridnya, dibantu ibu bapa di rumah.

“Guru dapat menyimpan rekod aktiviti yang diberi kepada pelajar. Pelajar kena menyertai kelas online menerusi satu kod khusus, dan sekolah kami telah menyediakan senarai mata pelajaran yang perlu diikuti setiap hari bertujuan tidak membebankan para pelajar.

“Contohnya, hari Ahad ialah khusus untuk Bahasa Tamil, jadi guru yang terlibat akan memasukkan kuiz atau aktiviti berkaitan mata pelajaran itu dalam Google Classroom,” jelasnya.

Pushpaavalli berkata kaedah pembelajaran ini fleksibel dan tidak mempunyai waktu pembelajaran tertentu, dan ia boleh melibatkan aktiviti sebagai kuiz dan projek mini.

“Google Classroom menggunakan internet sepenuhnya, namun boleh dikatakan hampir 90 peratus pelajar saya mempunyai akses internet bagi tujuan ini.

“Sokongan ibu bapa juga amat menggalakkan, menunjukkan mereka prihatin terhadap pendidikan anak-anak, dan secara tidak langsung melibatkan interaksi positif antara guru, pelajar dan ibu bapa biarpun tidak dapat berjumpa sepanjang tempoh ini,” katanya.

— BERNAMA