BAU: Cubaan lima lelaki warga Indonesia balik ke negara asal menerusi Jalan Serikin gagal setelah ditahan dalam Sekatan Jalan Raya (SJR) Km 9, Jalan Bau Kuching, semalam.

Ketua Polis Daerah Bau, Deputi Superintenden Poge Nyaon berkata kenderaan yang dinaiki suspek ditahan oleh pasukannya sekitar jam 5.05 pagi.

Menurutnya, kesemua suspek berusia dari 23 hingga 46 tahun.

“Pasukan kita telah menahan sebuah kenderaan jenis Kancil dan mendapati terdapat lima warga Indonesia didalamnya cuba balik ke negara asal.

“Kenderaan terbabit dikatakan dalam perjalanan dari arah Kuching untuk balik ke Indonesia menggunakan Jalan Serikin,” jelasnya dalam satu kenyataan semalam.

Susulan itu, katanya, kesemua mereka ditahan di bawah Seksyen7(1) Peraturan-peraturan Pencegahan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Dalam Kawasan Tempat Kejadian 2020) untuk tindakan lanjut.

Dedahnya, hasil semakan rekod masa lampau mendapati suspek tidak mempunyai sebarang kesalahan jenayah lalu.

Tambahnya, kesemua suspek turut ditahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Jika sabit kesalahan suspek boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali,” tegas beliau.