GEDONG: Sebanyak 2,527 keluarga termasuk penghuni rumah panjang di kawasan Gedong, Pangkor dan Ulu Simunjan menerima bantuan makanan daripada Adun Gedong Datuk Mohd Naroden Majais.

Bantuan makanan berupa beras, minyak masak dan gula itu merupakan sumbangan peribadi Naroden bagi meringankan beban penduduk terbabit yang terjejas berikutan Perintah Kawalan Pergerakan akibat penularan wabak Covid-19 ketika ini.

Sebanyak 1,000 kotak bahan makanan itu diagihkan oleh beberapa ahli jawatankuasa PBB Zon Gedong ke setiap rumah di kawasan Gedong baru-baru ini. Manakala selebihnya akan diagihkan kepada penduduk di Zon Pangkor yang meliputi Kampung Lubuk Punggor,

Lubok Buntin dan sekitarnya serta ke Zon Semalatong di Ulu Simunjan. “Ini adalah sumbangan peribadi saya serta keluarga bagi membantu penduduk yang kebanyakannya sukar untuk membeli keperluan dapur semasa Perintah Kawalan Pergerakan ketika ini.

“Saya berharap bantuan ini dapat meringankan beban penduduk berkenaan,” kata Menteri Muda Perdagangan Antarabangsa Dan Industri, Terminal Perindustrian Dan Pembangunan Usahawan itu ketika dihubungi Suara Sarawak.

Sementara itu, seorang penduduk Gedong Ismawi Harmi gembira apabila menerima bantuan berkenaan. Katanya, pengagihkan bantuan ini membuktikan Naroden sentiasa perihatin terhadap masalah dan keperluan penduduk di Gedong.

“Terima kasih kepada YB Datuk Mohd Naroden yang telah memberi sedikit sumbangan kepada penduduk di Gedong. Sekurang-kurangnya dapatlsh meringankan sedikit beban kami yang tidak keluar mencari rezeki ketika ini,” katanya.