KUALA LUMPUR: Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menyifatkan pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) sebagai satu pakej ‘menyeluruh’ yang mengambil kira semua lapisan masyarakat.

Presidennya, Datuk Dr Marimuthu Nadason berkata inisiatif kerajaan menerusi pengumuman pakej itu menunjukkan kerajaan berusaha membantu golongan berpendapatan rendah khususnya.

“Seperti yang PM sebut, ‘no one will be left behind’, kata-kata itu boleh diterjemahkan melalui pelbagai bantuan yang disalurkan kepada golongan sasaran.

“…jadi kalau kita lihat banyak sangat insentif diberikan bagi mereka yang berpendapatan rendah, yang mustahak kerajaan memang menolong golongan yang memerlukan bantuan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Mengulas mengenai bantuan kepada pemandu e-hailing, kemudahan internet percuma dan sebagainya, Marimuthu berkata ia juga merupakan bantuan tepat pada masanya memandangkan majoriti menggunakan servis e-hailing dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

“Begitu juga dengan sektor telekomunikasi yang amat penting pada waktu ini (PKP), kemudahan internet percuma ini akan memanfaatkan lebih ramai pengguna,” katanya sambil menjelaskan FOMCA kekal komited membantu kerajaan memantau kenaikan harga barang dan isu melibatkan pengguna.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam mengumumkan Pakej PRIHATIN berjumlah RM250 bilion yang akan memberi manfaat kepada semua rakyat.